28 February 2014

Ujian Kenaikan Pangkat TKRS

 Koperal TKRS Muhammad Asfa bin Abd Rahman
 Koperal TKRS Nor Shafika Sajidah bin Zulkifle


Sejarah Penubuhan KRS
Kadet Remaja Sekolah (KRS) telah ditubuhkan dan diasaskan oleh Muhammad Thani Bin Sha'aban di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong, Kuala Lumpur pada 27 Jun 1987. Pasukan ini pada mulanya dikenali sebagai Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM) yang merupakan pasukan beruniform kepada Persatuan Pelajar-pelajar Islam SMRA (PERWIRA) Keahliannya adalah seramai 20 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar daripada tingkatan 1 dan 2.
Matlamat utama penubuhannya ialah untuk melahirkan pelajar cemerlang yang BERILMU BERIMAN dan BERAMAL, berakhlak mulia, bersemangat patriotik dan berketrampilan, selaras dengan usaha dan hasrat mengisi tuntutan Falsafah Pendidikan Negara ke arah Wawasan 2020.

Pasukan KPIM ini bernaung di bawah pengawasan Unit Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Setiap aktiviti yang dijalankan adalah berteraskan ISLAM SEBAGAI CARA KEHIDUPAN (AD-DEEN). Mulai tahun 1989, beberapa buah sekolah di Wilayah Persekutuan telah mula menubuhkan KPIM.
Pada tahun 1993, sebanyak 53 buah sekolah menengah di seluruh negara telah menubuhkan KPIM. Usaha untuk menubuhkan KPIM secara rasmi dan; bernaung di bawah Kementerian Pendidikan telah dimulakan pada 10 Ogos 1993, dan satu pertemuan telah diadakan dengan Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid b. Wan Mohd Nordin, iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 13 September 1993. Tesis mengenai KPIM telah dibentangkan dalam pertemuan ini. Hasil daripada pertemuan tersebut, sebuah jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk menyediakan kertas kabinet, dan jawatankuasa ini telah mencadangkan agar pasukan ini diberi nama KADET PUTERA-PUTERI ISLAM (KPIM).


Walaubagaimanapun, nama pasukan ini telah ditukar kepada KADET REMAJA ISLAM (KRIS). Sementara itu, taklimat dan pendedahan kepada Pengarah-pengarah bahagian Kementerian Pendidikan yang telah diadakan pada bulan Oktober 1993 telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid telah membuat keputusan agar nama pasukan ini ditukar kepada Kadet Remaja Sekolah yang membuka keahliannya kepada semua kaum sama ada lelaki atau perempuan.


Upacara Pelancaran Kadet Remaja Sekolah Peringkat Kebangsaan telah dilaksanakan pada 20 Jun 1995 bersamaan 21 Muharram 1416 oleh Yang Berhormat Dato' Seri Mohd Najib Tun Hj. Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong, Kuala Lumpur.
Pada bulan November-Disember tahun yang sama, seramai 300 orang guru telah dilatih sebagai jurulatih Kadet Remaja Sekolah peringkat negeri. Pelaksanaan Kadet Remaja Sekolah sebenarnya mempunyai keunikan konsep dan falsafahnya yang tersendiri yang membezakan pasukan ini dari pasukan-pasukan beruniform yang lain. Kegiatan yang dijalankan, digandingkan dengan unsur-unsur pengukuhan dan pemantapan jiwa dan rohani setiap anggota pasukan. Pelajar yang meanggotai pasukan ini bukan sahaja dibangunkan dari aspek jasmaninya melalui kegiatan kegiatan yang mencabar inteleknya melalui kegiatan-kegiatan kreatif, bahkan juga jiwa dan rohaninya melalui amalan-amalan langsung ibadah khusus dan umum.

 

23 February 2014

Pelancaran Program Nilam 2014

Apa itu Program Nilam
‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.
Program ini ialah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di kalangan murid. Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urus setia di Kementerian Pelajaran yang ditugaskan untuk menyelaras program ini.
Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.

Rasional Program Nilam dilaksanakan
Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama dalam membina budaya ilmu dalam sesebuah masyarakat ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai program galakan membaca di sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun kesan daripada program tersebut masih belum mencapai tahap yang dikehendaki. Dengan demikian Kementerian Pelajaran perlu mencari pendekatan baru bagi melaksanakan program galakan membaca yang lebih berkesan dan dapat dijalankan secara berkesan.

Objektif
Menjadikan murid banyak membaca
Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca ini


Sumber
http://bibliografi.moe.edu.my/SumberPendidikan


13 February 2014

Kepimpinan Pengawas Sekolah Dan Pusat Sumber 2014

Rasional
Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber adalah kumpulan pelajar yang berpotensi besar untuk menjana kecemerlangan diri baik dari segi akademik atau sahsiah diri. Walau bagaimanapun, didapati kumpulan pengawas yang ada di sekolah masih kurang menonjol dari segi kepimpinan dan konsep kendiri yang mantap dibelenggu perasaan malu dan tidak yakin untuk melaksanakan tugas dengan penuh iltizam dan dedikasi. Keadaan ini menyebabkan karisma mereka sebagai sebagai pemimpin kecil tidak menyerlah sekaligus ia menjadi faktor penghalang untuk mereka memberi khidmat terbaik kepada sekolah. Diharap dengan adanya seminar seperti ini akan mendedahkan mereka kepada ciri-ciri kepimpinan yang baik serta masing-masing dapat mengenal dan mengeksploitasi potensi diri ke tahap yang maksima.

Objektif
Melahirkan pengawas yang memiliki ketrampilan diri sebagai pemimpin pelajar.
Mumupuk sifat berani dan yakin diri dalam melaksanakan amanah yang diber.
Menerap nilai bekerjasama dan semangat berpasukan.
Melahiran pengawas yang cerdas mental dan cergas fizikal.

Majlis ini telah diadakan pada 13 Februari 2014 di dewan sekolah dengan kerjasama  Jabatan Penjara Malaysia Terengganu.

12 February 2014

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu

Encik  Zakaria bin Hussin, Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu telah mengadakan lawatan ke SK Pasir Panjang pada 12 Februari 2014.

Biodata Ringkas Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu yang baru.

En. Zakaria bin Hussin telah dilahirkan pada 25 April 1955 di Kampung Dusun Nyior, Chukai Kemaman, Terengganu. Beliau mendapat pendidikan rendah di SK Chukai, Kemaman dan meneruskan pendidikan menengah di SMK Khir Johari, Sungai Petani sebelum ke universiti. Setelah menamatkan pengajian dengan memperolehi Sarjana Muda Sains 1979 dan seterusnya  Diploma Pendidikan (Matematik) dari UKM pada tahun 1980 beliau memulakan perkhidmatan dalam dunia pendidikan sebagai guru siswazah di SMK Sungai Lembing, Kuantan, Pahang Darul Makmur.

Beliau kemudiannya diberi kepercayaan menjawat jawatan Guru Penolong Kanan 1 pada 1 Ogos 1990 hingga 31 November 1995 di sekolah yang sama sebelum bertukar ke SMK Chukai, Kemaman. Sebelum dilantik sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Kemaman (Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan) pada 2 Januari 1999 beliau pernah menjadi Ketua Bidang Sains dan Matematik serta Guru Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid di SMK Ayer Puteh, Kemaman.

Pada 16 Ogos 2003, beliau telah dilantik sebagai Pengetua SM Teknik Kemaman dan pada 1 Julai 2007 telah dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Kemaman. Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Kemaman banyak kejayaan dicipta antaranya peningkatan keputusan peperiksaan awam serta pernah meraih keputusan daerah terbaik negeri dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM selain kejayaan dalam bidang sukan dan kokurikulum.

Kerjaya beliau yang cemerlang telah menyakinkan Kementerian Pelajaran Malaysia melantik beliau sebagai Pengarah IPGM Kampus Sultan Mizan, Besut pada 8 Julai 2011 dan pada 12 Mac 2012 secara rasmi beliau diberi kepercayaan memimpin Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu sebagai Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu yang ke 43.

Selain mengikuti berpuluh kursus-kursus professional beliau juga seorang yang aktif dalam beberapa pertubuhan sukan dan kemasyarakatan. Anataranya pernah menjadi Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Kemaman, AJK Persatuan Bulan Sabit Daerah Kemaman dan pernah menjadi AJK Lembaga Amanah Ketengah dan berbagai lagi. Beliau meminati sukan boling dan gemar berjoging.

Di atas jasa-jasa dan sumbangan cemerlang beliau pada tahun 2002 beliau dianugerahi dengan Pingat Jasa Kebaktian dan menerima Anugerah Khidmat Cemerlang (1995,2003,2010). 

Kita amat yakin dengan pegalaman beliau yang luas dan kemahiran beliau yang tinggi, pendidikan Terengganu akan terus gemilang dan terbilang. Tahniah tuan. Warga pendidikan Terengganu sentiasa bersama-sama tuan.


Sumber: unitrendahspsjpnt.blogspot.com


Gambar Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu di SK Pasir Panjang, Kuala Terengganu pada 12 Februari 2014

Program Temu Murni Ibu Bapa

Program Temu Murni Ibu Bapa telah diadakan pada 12 Februari 2014. Majlis  tersebut dihadiri oleh penjaga dan ibu bapa murid Tahun 6. Tujuannya ialah untuk berkongsi maklumat dan pandangan bagi memantapkan lagi pencapaian murid-murid Tahun 6.Disamping itu, ibu bapa murid-murid tahun 6 menerima laporan keputusan ujian TOV yang telah diadakan pada 27 hingga 29 Januari 2014.

04 February 2014

Majlis Persaraan dan Pertukaran Guru

Majlis meraikan persaraan dan pertukaran guru SK Pasir Panjang telah diadakan pada 3 Februari 2014 di Primula Beach Hotel.