23 April 2011

Sejarah Sekolah






Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang Kuala Terengganu telah dibuka pada tahun 1939.Wujudnya sekolah ini adalah atas usaha gigih orang-orang kampung bersama-sama penghulunya Tuan Haji Ahmad bin Hitam yang telah memohon dan mendesak pihak kerajaan mengadakan sebuah sekolah tempat kanak-kanak di sekitar kawasan Pasir Panjang ini belajar.

Sekolah ini terletak dalam kawasan seluas 4.406 ekar.Pada mulanya sebuah bangsal didirikan dan disumbang oleh seorang pemborong tempatan iaitu Encik Wan Salleh bin Ahmad.

Bangunan tempat belajar bertambah dari masa ke semasa mengikut perkembangan murid.
Pada akhir tahun 1968 sekolah mempunyai 4 buah bangunan separuh kekal sebagai tempat belajar berukuran sebagaimana berikut:

i. 120 kaki x 22 kaki
ii. 60 kaki x 22 kaki
iii. 47 kaki x 20 kaki
iv. 48 kaki x 20 kaki

Pada tahun 1969, bangunan iii dan iv telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan lain yang juga bangunan separuh kekal berukuran 300 x 24 kaki.Bangunan ini mempunyai 9 buah bilik darjah dan sebuah bilik guru.

Pada tahun 1980, sebuah bangunan kekal 2 tingkat berukuran 190 x 24 kaki dibangunkan.Bangunan ini mempunyai 6 buah bilik darjah, perpustakaan sekolah, bilik pusat sumber sekolah,ruang pejabat dan bilik Guru Besar.

Pada tahun 1990, sebuah lagi bangunan separuh kekal dibina bagi menampung pertambahan murid yang mendadak dengan bangunan berukuran 22 x 146 kaki dan mempunyai 4 buah bilik darjah.

Semenjak ditubuhkan pada tahun 1939, hanya murid lelaki sahaja yang belajar di sekolah ini dengan keramaiannya 20 orang.Keramaiannya meningkat dari masa ke semasa, dengan peningkatan kepada 40 orang selepas beberapa bulan dibuka.Pada tahun 1946, barulah sekolah ini mula menerima murid perempuan,menjadikannya sebagai sebuah sekolah bercampur.Pada tahun 1954, pentadbiran sekolah ini telah dipecahkan kepada 2 bahagian iaitu Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang (Lelaki) dimana Guru Besarnya ialah Encik Muhammad bin Hassan dan Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang (Perempuan) pula Guru Besarnya ialah Cik Emi Shamsiah binti Abd.Hamid.Tetapi selepas berjalan selama 7 tahun kedua-dua sekolah ini telah disatukan semula di bawah pentadbiran seorang Guru Besar.Penyatuan ini adalah atas nasihat Lembaga Jemaah Pengurus Sekolah dalam mesyuaratnya pada 15.02.1961.

Semenjak dibuka juga, ramai bekas murid sekolah ini telah berjaya mencipta nama dalam pelbagai bidang, sama ada dalam sektor awam ataupun swasta.