Dilahirkan di Batu Pahat, Johor pada 4 Ogos 1954. Tuan
Haji Muslan bin Muslim adalah seorang guru besar yang tegas dan agak garang.
Walaupun begitu beliau seorang yang peramah dan suka bergurau.
Alam persekolahannya bermula di Sekolah Kebangsaan Seri
Tengah sehingga tamat tahun 6. Kemudian beliau menyambung persekolahan di
Sekolah Menengah Kebangsaan Yong Peng sehingga ke tingkatan 3 dan Sekolah
Menengah Dato Bentara Luar Batu Pahat pada tahun 1971 hingga ke tingkatan 5.
Memasuki Maktab Perguruan Persekutuan , Pulau Pinang pada
tahun 1973 hingga 1974 untuk mendapat Sijil Perguruan Asas. Pada tahun 1997
hingga tahun 1998 beliau memasuki Institiut Perguruan Sultan Idris dan
memperolehi Sijil Perguruan Khas dan Institiut Aminuddin Baki pada tahun 2000
hingga 2001.
Tuan Haji Muslan memulakan tugas sebagai seorang guru
penolong dan kemudian dilantik sebagai penyelia petang. Pada tahun 1975 hingga
1990 beliau dilantik menjadi Guru Penolong Kanan di SMK Ibrahim Fikri, Seberang
Takir, Kuala Terengganu.
Seterusnya beliau dilantik sebagai guru besar di beberapa
buah sekolah rendah bermula dengan SK Bukit Guntong pada tahun 1990 hingga
1994, kemudian di SK Lubuk Teras Setiu, SK Paloh, Kuala Terengganu, SK Seri
Budiman 2, SK Mengabang Telipot, SK Bukit Wan dan akhir sekali di SK Pasir Panjang pada tahun 2013 dan akan
bersara pada hari ini 3 Ogos 2014.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah mendapat
anugerah perkhidmatan cemerlang sebanyak 2 kali pada tahun 1997 dan 2001.
Beliau juga telah banyak menempa kejayaan sebagai seorang guru besar,
diantaranya telah berjaya mendapat tempat kedua, Pusat Sumber Cemerlang
Peringkat Kebangsaan, tempat ketiga Kebersihan 3K Peringkat Kebangsaan dan
Qualiti Mental Pelajar Peringkat Kebangsaan.
Sebagai seorang yang telah lama berkhidmat
tentulah banyak pengalaman yang manis dan pahit telah ditempuhi. Semuanya itu
menjadi kenangan yang tak mungkin dapat diraih kembali dan tersimpan kukuh di
kotak memori.